Sabtu, 18 Jun 2016
Prestasi rendah : Guru bakal ditukarkan
KUALA LUMPUR 13 Jun – Guru yang sudah berkhidmat lima hingga 10 tahun di sesebuah sekolah namun tidak menunjukkan prestasi baik akan ditukarkan jika perlu bagi memastikan mereka mencapai standard yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, kementerian sentiasa memantau guru yang tidak menunjukkan prestasi baik menerusi penilaian yang dilakukan dari semasa ke semasa.
Menurutnya, pemantauan dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selain menerusi laporan prestasi yang dikemukakan oleh pihak pengurusan sekolah.
“Sekiranya guru itu tidak mencapai prestasi yang ditetapkan, maka kementerian juga boleh mengambil tindakan dalam proses penukaran guru berkenaan,” katanya mengenai saranan Senator Datuk Abdullah Mat Yasin pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Abdullah mencadangkan agar guru yang berkhidmat antara lima hingga 10 tahun di sesebuah sekolah dan tidak lagi menunjukkan prestasi baik perlu ditukarkan ke sekolah lain.
Dalam hal itu Kamalanathan memberitahu, kementerian mendapati hampir keseluruhan guru di negara ini melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik setakat ini.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berhubung masalah penempatan guru di Sabah dan Sarawak pula katanya, setakat ini lebih 80 peratus guru yang berkhidmat di kedua-dua negeri itu berasal dari sana.
“Kita mahu menjelang 2020 lebih 90 peratus guru yang berkhidmat di kedua-dua negeri itu berasal dari sana, maka masalah penempatan guru yang dibangkitkan ini akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.