Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri
laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa
mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan
itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih
kurang 12 tahun muncul dihadapan.
"Abang nak beli kuih?"
katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang
menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.
Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang
20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan
lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu
begitu saja.
"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.
"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.
Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di
meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak
beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"
Molek budi
bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke
premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan
kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak
nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang
yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.
Selepas membayar harga
makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya
lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu,
membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan
enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah
senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.
"Abang
dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik
abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum.
Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang
penutupnya.
Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja.
Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan
menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.
"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya
berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak
itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus
berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat
membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur.
Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula
RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua
matanya.
Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.
"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.
"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya
mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah
berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit
sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah.
Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!"
katanya begitu lancar.
Saya sebak, sekaligus kagum dengan
pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya
berapa semua harga kuih dalam bakul itu.
"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.
"RM25 saja bang."
Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya
hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.
Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan
ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak
yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang
saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi
kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu
penghormatan.
Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tinggalkan komen jika sudi