Oleh Ruhaiza Rusmin
Ketika penulis bersekolah dulu, antara perkara paling menjemukan ialah ‘dipaksa’ guru menyelesaikan kerja sekolah.
Penulis beranggapan, kerja sekolah dibekalkan guru cukup membebankan
serta menjadi penghalang untuk menikmati kebebasan hidup sebagai
pelajar.
Namun kerana tiada pilihan, penulis terpaksa menggagahkan diri, apatah
lagi apabila mengenangkan hayunan rotan sebagai ‘hadiah’ jika gagal
menyiapkan tugasan.
Sehingga kini, walaupun zaman persekolahan
sudah lama berlalu, isu kerja sekolah yang menjadi mimpi ngeri generasi
sezaman penulis tidak pernah selesai.
Kerja sekolah masih dianggap membebankan pelajar manakala bagi pihak guru, kerja sekolah dianggap satu kemestian.
Dolak-dalik mengenai kerja sekolah yang tidak pernah selesai ini
akhirnya mengundang konflik dan polemik dunia pendidikan negara.
Benarkah tidak menyiapkan kerja sekolah itu satu kesalahan besar bagi pelajar?
Ketua
Jabatan Kepimpinan dan Polisi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Izham Mohd Hamzah
berkata, pelaksanaan kerja sekolah oleh pelajar seharusnya dilihat dari
pelbagai perspektif bagi mengelak salah faham banyak pihak.
Beliau
berkata, kerja sekolah memang sinonim dengan pelajar, namun ia juga
boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan guru
bagi kebaikan golongan sasaran (pelajar).
“Definisi kerja sekolah
itu sendiri boleh membawa pelbagai maksud iaitu dari sudut positif atau
negatif bergantung kepada perkara utama yang disasarkan.
“Misalnya
dari sudut negatif, kerja sekolah nampak membebankan namun dari sudut
positif, ia boleh dijadikan pemangkin bagi memperkukuh dan memperbaiki
kelemahan pelajar.
“Pelbagai penafsiran boleh diberikan mengenai
kepentingan kerja sekolah kepada pelajar mengikut kriteria keperluan.
Cuma jangan sampai mengganggu dan menimbulkan konflik lain,” katanya.
Beliau
berkata, keperluan melaksanakan kerja sekolah tertakluk dalam surat
pekeliling yang diedarkan kepada pihak pelaksana seperti sekolah dan
guru sejak 10 tahun lalu.
“Menerusi surat pekeliling pada 2004
itu, kerja sekolah adalah satu tuntutan yang perlu diberikan kepada
pelajar sebagai salah satu cara pengukuhan atau memperkayakan pemahaman
pelajar.
“Selain itu, ia turut menyasarkan objektif lain
seperti meneruskan kesinambungan pembelajaran di kelas, mengisi masa
senggang pelajar dan meningkatkan kemahiran melalui latihan pemulihan.
“Jika
melihat pada objektifnya, kerja sekolah memang penting kerana ia
dilaksanakan bukan atas dasar ‘mendera’ golongan itu,” katanya.
Namun,
walaupun kerja sekolah satu keutamaan yang perlu diberikan kepada
pelajar, guru tidak boleh memaksa atau menggunakan bentuk fizikal
seperti rotan.
“Jika menggunakan hukuman seperti itu, ia salah dan lari daripada matlamat sebenar pelaksanaan kerja sekolah itu.
“Hukuman
berbentuk fizikal, apatah lagi melampaui batas tidak dibenarkan walau
apa jua alasannya kerana ia di luar batas norma sistem pendidikan,”
katanya yang tidak menolak kemungkinan pelaksanaan ‘hukuman’ dilakukan
kerana kurangnya maklumat guru atau sekolah mengenai polisi kerja
sekolah.
“Dalam modul pengajian, bagi bakal guru, tiada modul
khusus disediakan sebagai garis panduan untuk mereka melaksanakan
pemberian tugasan kerja sekolah kepada pelajar.
“Yang banyak ditekankan ialah mengenai etika dan cara pembelajaran, namun terlepas pandang aspek keperluan etika kerja sekolah.
“Kekurangan
maklumat atau pendedahan sebagai garis panduan itulah mewujudkan isu
tidak diingini mengenai kerja sekolah,” katanya.
Ditanya
pandangannya, adakah satu kesalahan besar jika pelajar enggan membuat
kerja sekolah, beliau berkata, ia bukan kesalahan serius yang memerlukan
mereka diberi hukuman keterlaluan.
Menurutnya, tidak menyiapkan
kerja sekolah bukan satu kesalahan disiplin dari sudut sistem
pendidikan normal, namun ketegasan perlu ada supaya pelajar sedar bahawa
membuat kerja sekolah itu ada kebaikannya.
“Saya tidak kata
tangan guru terikat dalam isu ini sebab memberi kerja sekolah juga
sebahagian cara membantu pelajar memperbaiki prestasi mereka.
“Kebolehan pelajar yang berbeza memerlukan satu mekanisme digunakan bagi meningkatkan pencapaian.
“Melalui kerja sekolah, pelajar yang lemah boleh dibantu untuk meningkatkan pencapaian mereka,” katanya.
Namun
jika pelajar enggan atau tidak mampu menyiapkan kerja sekolah, beliau
berkata, guru boleh bertegas dan mencari punca mengapa mereka gagal
melaksanakan tugasan yang diberikan.
“Adalah melanggar hak
pelajar jika guru terus memberikan hukuman tanpa mencari punca pelajar
gagal menyiapkan kerja sekolah diberikan.
“Mungkin ada
penyebabnya seperti kekangan masa, keletihan, kurangnya kefahaman dan
sebagainya. Guru perlu menyelidik sebelum bertindak ke fasa seterusnya.
“Tidak
adil jika terus memberikan hukuman. Tidak kira sama ada guru atau
pelajar, jangan jadikan isu kerja sekolah sebagai satu konflik besar,”
katanya.
Ditanya adakah jika guru bersikap ‘tidak apa’ terhadap
pelajar yang enggan membuat kerja sekolah seperti memanjakan golongan
itu, beliau berkata, ini bukan soal manja atau tidak sebaliknya menjurus
kepada sikap toleransi.
“Tanggungjawab guru adalah memberi kerja sekolah dan memastikan pelajar membuatnya."
“Namun jika pelajar enggan, guru tidak boleh dipersalahkan kerana bidang kuasa mereka ada hadnya.
“Dalam
hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah.
Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan meletakkan kesalahan pada guru,”
katanya.
Beliau berharap agar pertikaian mengenai kerja sekolah tidak berpanjangan hingga mengganggu banyak aspek lain.
“Yang menjadi keutamaan ialah melahirkan pelajar berjaya, seimbang serta mampu menjadi generasi boleh dibanggakan.
“Wujudkan keharmonian dalam sistem pendidikan dan jauhi konflik,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gurutakbolehpaksapelajar/Article/index_html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tinggalkan komen jika sudi