MACHANG - Seorang bapa kesal apabila pihak sekolah meminta anaknya
bertukar ke sekolah lain selepas didakwa bergaduh dengan seorang pelajar
lain di sekolah yang sama, di sini, semalam.
Zulaimin Dollah mendakwa, lebih malang apabila hanya anaknya, Muhammad
Syahir Aiman, 16 diminta bertukar ke sekolah lain sedangkan pelajar yang
dikatakan bergaduh dengan anaknya itu tidak pula diminta berbuat
demikian.
“Saya buntu memikirkan arahan tersebut sedangkan anak saya hanya
mempertahankan diri daripada pelajar itu dan bukan sengaja mahu bergaduh
di sekolah.
“Sepatutnya pihak sekolah panggil mereka berdua bersama ibu-bapa
masing-masing sebelum mengambil tindakan. Bukan senang nak tukar sekolah
lagipun anak saya lebih selesa meneruskan persekolahan di sekolah itu,”
katanya kepada Sinar Harian
ketika ditemui di Kampung Belukar Kubur, dekat Batu 23, di sini, semalam.
Zulaimin berharap pihak sekolah mempertimbangkan arahan itu dan
menyiasat perkara berkenaan sebaik mungkin serta tidak mengambil
tindakan terburu-buru.
Katanya, Muhammad Syahir Aiman diminta datang ke sekolah hari ini bagi
mengambil surat pertukaran sekolah yang dimaksudkan guru berkenaan.
Sementara itu, Muhammad Syahir Aiman ketika ditemui berkata, kejadian
berlaku pada Rabu lalu apabila dia diminta pergi ke surau sekolah oleh
pelajar tingkatan lima namun tidak menghiraukannya dengan alasan ingin
ke kantin.
Dakwanya, dia tidak mengenali pelajar terbabit dan apabila pergi ke
surau yang dimaksudkan, dia dipukul oleh pelajar berkenaan dengan alasan
berlagak ‘samseng’.
“Saya terpaksa mempertahankan diri saya dari terus dipukul dengan teruk
dan pergaduhan itu dileraikan pekerja sekolah yang ternampak kejadian
itu. Selepas mendapatkan rawatan di hospital, saya dan keluarga membuat
laporan polis mengenai kejadian itu.
“Malangnya, pada keesokan hari dia (pelajar tingkatan lima) masih
mencari dan memukul saya. Saya buat aduan kepada guru namun
dipersalahkan dengan alasan bergaduh di sekolah dan diminta bertukar ke
sekolah lain,” katanya yang mendakwa tidak tahu punca sebenar dipukul.
sumber sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tinggalkan komen jika sudi