Menurutnya, pemantauan dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selain menerusi laporan prestasi yang dikemukakan oleh pihak pengurusan sekolah.

“Sekiranya guru itu tidak mencapai prestasi yang di­tetapkan, maka kementerian juga boleh mengambil tindakan dalam proses penukaran guru berkenaan,” katanya mengenai saranan Senator Datuk Abdullah Mat Yasin pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Abdullah mencadangkan agar guru yang berkhidmat antara lima hingga 10 tahun di sesebuah sekolah dan tidak lagi menunjukkan pres­tasi baik perlu ditukarkan ke sekolah lain.

Dalam hal itu Kamalanathan membe­ritahu, kementerian mendapati hampir keseluruhan guru di negara ini melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik setakat ini.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berhubung masalah penempatan guru di Sabah dan Sarawak pula katanya, setakat ini lebih 80 peratus guru yang berkhidmat di kedua-dua negeri itu berasal dari sana.

“Kita mahu menjelang 2020 lebih 90 peratus guru yang ber­khidmat di kedua-dua negeri itu berasal dari sana, maka masalah penempatan guru yang dibangkitkan ini akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.