Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah
ada memberi pelepasan kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya
ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang.
Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti.
"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk.
Saya bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital
dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya," katanya.
Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk
mengawal perasaannya daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin
dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula jadinya.
"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang
sekeliling tak anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan
ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu," katanya.
Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, Zaimah Mishan, 42,
pernah mengalami sakit jiwa.
Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung
beban tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah
berbanding bersama keluarga.
"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga
saya tidak mampu mengajar. Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.
"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya
mengajar agama tidak seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka
juga dibebani dengan komitmen luar," katanya.
Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah berkata, ada
pengurusan sekolah yang memahami tanggungjawab guru JQAF namun ada juga
sekolah yang menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.
"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari
seminggu, dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami
dan anak-anak.
"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang
saya diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.
"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru
terlibat dan hari Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat
dalam Kem Bestari Solat," katanya.
Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai
yang sepatutnya itu ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF.
"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena
mental block. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.
"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti gerak kerja," katanya.
Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang
menjelaskan, keadaan dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk
lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak enggan
berjumpa dengannya.
"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain
dengan alasan saya terlalu sibuk dengan kerja. Keadaan saya bertambah
teruk waktu itu.
"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya.
Hanya keluarga saya yang datang memberi sokongan untuk saya jalani
terapi dan rawatan di hospital.
"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah,
selepas menjalani rawatan dan sesi kaunseling, saya sudah boleh mengawal
tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah kembali pada
saya," katanya.
Berisiko mendapat penyakit kritikal
MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000
pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital
berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada
golongan guru.
“Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang
terbeban kerana banyak tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain
mengajar.
“Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah
sukan, kursus dan gerak kerja luar sekolah, guru-guru juga perlu
berdepan dengan tekanan lain.
“Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa
serta pengetua yang sentiasa menaruh harapan tinggi untuk melahirkan
pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.
Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih
menganggap bahawa sekolah dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik
anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru.
Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari
kepada guru sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung
kepada pengajaran di sekolah.
Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh
pesakit-pesakitnya yang juga guru, Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan
mereka menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai karakter
yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti
kebimbangan melampau dan kemurungan.
“Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa,
malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam
melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang
cukup.
“Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.
Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor
sekeliling seperti kerja dan jaringan sosial seperti keluarga,
rakan-rakan dan masyarakat.
Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru mendapat tekanan menjadi lebih tinggi.
Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali
ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit
jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.
“Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan
mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka
tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian.
“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan
sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan
waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani
terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida.
~~~ artikel ini diambil dari Kosmo.
Link di sini
Nota Kaki ::: Kerja di dunia ni memang sentiasa berterusan bagai air. Kerja takkan pernah berhenti. Sebagai Islam, kita hanya perlu ingat...tujuan kita di dunia ini untuk beribadat dan kerja itu juga adalah ibadat. Utamakan yang fardu jauhi yang haram. Bila kita asyik stress, periksa kembali hubungan kita dengan ALLAH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tinggalkan komen jika sudi